Saturday 1 August 2015

LAWATAN SAMBIL BELAJAR PPKI SKTD 2

Lawatan Sambil Belajar Ke Farm In The City

Pada 30 Julai 2015 yang lalu, PPKI SK Taman Desa 2 telah melaksanakan program Lawatan Sambil Belajar ke Farm In The City yang terletak di Seri Kembangan. Lawatan tersebut telah disertai oleh seramai 30 orang murid dan 13 orang guru serta 4 orang ppm. Kami telah bertolak pada jam 9 pagi dengan menaiki sebuah bas dan tiba di tempat lawatan pada jam 10.15 pagi. 

Setibanya di sana, murid-murid telah disambut baik oleh petugas-petugas di sana dan terlebih dahulu, guru telah membuat pendaftaran dan pembayaran di kaunter. Murid-murid pendidikan khas berasa amat teruja dan tidak sabar untuk melihat dan menyentuh haiwan-haiwan jinak yang terdapat di sana. 

Murid-murid berpeluang untuk melihat dan menyentuh haiwan-haiwan jinak seperti rusa, burung kakak tua, arnab dari pelbagai baka dan saiz, ayam, lembu, kambing, kura-kura dan pelbagai lagi spesis haiwan yang comel dan jinak. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk memberi makan kepada haiwan tersebut di bawah jagaan petugas dan guru-guru. Ternyata, lawatan sebegini dapat memberi peluang dan ruang kepada murid-murid istimewa ini untuk berada lebih dekat dengan haiwan jinak di samping dapat menjadi suatu terapi motor halus dan terapi haiwan bagi mereka. 

Diharapkan agar, lawatan sebegini akan dapat dilaksanakan lagi pada masa-masa akan datang supaya murid-murid akan dapat merasai suasana sebenar di luar bilik darjah dan menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.